Aksi Tangkas Andoni Zubiaurre Dapat Liputan Media Antarabangsa
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kecemerlangan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Andoni Zubiaurre dalam saingan Shopee Cup mendapat liputan media antarabangsa.

Ini disebabkan kecekapan penjaga gol berusia 29 tahun itu menafikan satu daripada dua sepakan penalti kelab Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh FC dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 5 Februari lalu.

Malah, gol pertama Nam Dinh terhasil menerusi percubaan susulan Nguyen Van Vi pada babak pertama. Ini selepas Zubiaurre pada awalnya menafikan penalti Caio Cesar.

Nam Dinh hampir menambah gol apabila dianugerahkan satu lagi sepakan penalti pada separuh masa kedua. Tuan rumah hampa apabila percubaan Percy Tau dinafikan Zubiaurre.

JDT kemudiannya meraih gol penyamaan menerusi penalti penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva.

Kecemerlangan Zubiaurre sepanjang perlawanan itu bukan saja membantu JDT layak ke peringkat separuh akhir Shopee Cup. Malah, namanya turut menjadi sebutan portal ESPN.

Sejak menyertai JDT pada 2024, bekas penjaga gol Eldense itu merekodkan 17 penampilan dan enam rekod tanpa bolos.