Saingan Malaysia Open 2025 diselubungi situasi di luar jangka apabila bumbung Axiata Arena bocor akibat hujan lebat.
Situasi ini menyebabkan beberapa perlawanan yang diadakan di gelanggang dua dan tiga untuk pusingan pertama kejohanan terpaksa ditangguhkan seketika.
Ini memaksa pemain-pemain yang berada di dua gelanggang berkenaan terpaksa keluar untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan.
Bumbung bocor stadium berkenaan turut menyebabkan hujan mengenai bahagian tempat duduk penonton. Situasi ini memaksa peminat badminton yang terkesan untuk meninggalkan tempat duduk mereka.
Ini menjadikan aksi di gelanggang pertama saja yang dapat diteruskan tanpa sebarang masalah. Aksi terbaru di gelanggang itu menyaksikan beregu negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan pertama.
Beregu nombor tiga dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan beregu ke-26 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard selepas bertarung dalam tiga set.
Sehingga artikel ini ditulis, perlawanan masih belum dapat disambung di gelangggang kedua dan ketiga.
Menurut wartawan Astro Arena, Zaki Zainal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berusaha mencari solusi untuk isu berkenaan.