Perlawanan tumpuan melibatkan Thailand vs Perancis akan berlangsung di pusingan kalah mati Piala Dunia Futsal 2024 pada Jumaat.
Thailand memulakan kempen Piala Dunia Futsal dengan baik setelah menumpaskan negara di ranking ke-16 dunia, Croatia dalam aksi pertama peringkat kumpulan B.
Momentum cemerlang itu diteruskan lagi pada perlawanan kedua apabila skuad Gajah Perang berpesta gol membelasah Cuba 10-5 untuk memastikan tiket ke pusingan kalah mati.
Pada aksi terakhir kumpulan, Thailand yang dibimbing Miguel Rodrigo terpaksa akur dengan kekuatan pasukan di ranking nombor satu dunia, Brazil untuk muncul naib juara kumpulan B.
Selaku naib juara kumpulan, Thailand telah dijadualkan untuk berhadapan Perancis yang turut berada di kedudukan kedua kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan.
Perancis membuka kempen dengan langkah kanan dengan meraih kemenangan besar ke atas Guatemala dan Venezuela sebelum tewas di tangan wakil Asia, Iran dalam aksi terakhir.
Aksi Thailand vs Perancis dijadualkan berlangsung pada 27 September 2024 dengan sepak mula perlawanan pada jam 8.30 malam di Kompleks Sukan Bukhara.
Seandainya menang, wakil tunggal Asia Tenggara ini bakal berdepan pemenang di antara Paraguay dan Afghanistan yang akan bertemu dalam satu lagi aksi pusingan 16 pada Khamis.