Bintang muda Singapura, Ikhsan Fandi Ahmad berjaya mencuri tumpuan pada minit-minit akhir perlawanan semalam apabila beliau menggalas tugas sebagai penjaga gol.
Singapura dan Indonesia telah dijadualkan bertemu pada aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 yang menyaksikan Indonesia menang 4-2. Perlawanan yang disajikan dengan pelbagai insiden semalam menjadikan Indonesia melangkah ke pentas akhir dengan agregat 5-3.
Ikhsan Fandi menjadi penjaga gol pada masa tambahan setelah Hassan Sunny diarahkan keluar oleh pengadil kerana penjaga gol utama Singapura itu dilayangkan kad merah. Pada minit ke-119, Ikhsan menukar jersi dan menjadi penjaga gol gantian.
Ikhsan Fandi berjaya menangkap kemas dan menyelamatkan satu sepakan percuma daripada pemain Indonesia di babak akhir permainan. Walaupun Singapura bermain seramai 8 pemain, akan tetapi usaha dan pengorbanan Ikhsan dan rakan-rakan wajar sekali dipuji.
Tiga pemain Singapura, Safuwan Baharudin, Irfan Fandi dan Hassan Sunny dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah masing-masing bertindak mengasari pemain. Indonesia menjadi pasukan pertama menempah slot ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2020.