Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan tidak menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai sasaran utama mereka dalam pasaran perpindahan Januari 2025.
Ini kerana menurut wartawan Give Me Sport, Ben Jacobs, sasaran sebenar pasukan yang dibimbing Jorge Jesus itu ialah penyerang berbisa Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah.
Ini bukan kali pertama Salah dikaitkan dengan perpindahan ke Saudi Pro League (SPL). Sebelum ini, Al-Ittihad pernah menawarkan yuran perpindahan sebanyak £150 juta (RM706 juta) pada 2023.
Walau bagaimanapun, tawaran tersebut pantas ditolak pengerusi Liverpool pada ketika itu, Mike Gordon menerusi satu panggilan telefon. Atas sebab itu, pengarah sukan SPL, Michael Emenalo memilih pendekatan lebih berhati-hati demi mendapatkan Salah.
Ini kerana Emenalo mempunyai hubungan baik dengan bekas pemain Fiorentina itu semasa kedua-duanya bersama Chelsea. Selain itu, sebarang langkah yang dibuat Salah akan dimaklumkan kepada Liverpool terlebih dahulu.
Pendekatan ini turut digunakan Roberto Firmino sebelum menyertai Al-Ahli pada musim panas 2023. Selepas memaklumkan keinginannya untuk meninggalkan Liverpool, barulah penyerang Brazil itu berunding dengan kelab-kelab lain.
Sekiranya penyerang Mesir itu mahu meninggalkan Anfield, dua perkara yang menjadi keutamaannya ialah yuran yang bakal diterimanya dan bila beliau akan mula menyertai kelab.
Salah menjadi pilihan Al-Hilal kerana ini dapat memenuhi keinginan Jesus untuk seorang pemain sayap kanan. Kelab Arab Saudi itu berharap dapat memanfaatkan tetingkap perpindahan luar biasa dari 1 hingga 10 Jun 2025 untuk mendapatkan khidmatnya.
Tetingkap ini dibuka untuk kelab-kelab yang akan beraksi dalam saingan Piala Kelab Dunia FIFA 2025.
SPL melihat kehadiran Salah mampu meningkatkan pendapatan komersial liga berkenaan. Ini disebabkan rundingan kontrak penyiaran antarabangsa perlawanan liga berkenaan akan diadakan pada 2025.
Kehadiran Salah dijangka meningkatkan lagi minat peminat bola sepak kepada SPL terutama dari negara kelahirannya, Mesir.
Jacobs turut memaklumkan antara sebab Al-Hilal enggan mengejar Ronaldo kerana beliau beraksi untuk musuh tradisi mereka, Al-Nassr. Perpindahan sebegini disifatkan kontroversi dan mampu mencetuskan kemarahan penyokong.
Selain itu, Ronaldo juga tidak berminat untuk meninggalkan Al-Nassr. Legenda Manchester United itu memiliki baki kontrak sehingga tahun 2025.
Penyerang berusia 39 tahun itu dijangka memperbaharui kontraknya selama setahun lagi. Ini bagi membolehkannya membantu Portugal seandainya mereka layak ke Piala Dunia 2026.