Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya Ali Olwan semakin berbisa kepada kempen Selangor FC untuk baki musim 2024/25.
Sejak tiba sebagai ejen bebas dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M), penyerang Jordan itu mula memainkan peranan penting di bahagian serangan Selangor.
Ini terbukti apabila beliau sudah menjaringkan lima gol daripada 18 perlawanan Merah Kuning dalam semua kejohanan termasuk MFL Challenge Cup.
Ali turut membantu Selangor mengakhiri kemarau kejuaraan mereka selama sedekad dengan meraih gelaran juara MFL Challenge Cup.
Razman menyifatkan perpindahan penyerang berusia 24 tahun itu sebagai satu tindakan bijak oleh pengurusan Selangor.
“Saya rasa kedatangan beliau dalam tetingkap kedua (perpindahan) memberi impak. Dengan larian dan umpanan serta beliau boleh menjaringkan gol, saya rasa beban yang dipikul Ronnie Fernandez sedikit sebanyak dapat ditampung oleh Ali Olwan dan Alvin Fortes.
“Saya rasa kehadiran dia memberi impak kepada pasukan Selangor,” katanya semasa menjadi panel Nindia.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully turut senada dengan Razman. Beliau melihat kehadiran Ali memberi nilai tambah kepada Selangor terutama dalam separuh kedua musim 2024/25.
“Ya, kita tengok dalam 11 perlawanan, beliau sudah menjaringkan lima gol dan tiga bantuan gol. Ini menunjukkan keterampilan beliau untuk memberi impak yang baik kepada pasukan.
“Dan secara tidak langsung, ini akan memberi motivasi yang tinggi terutama dalam tetingkap kedua (perpindahan) untuk keterampilan. Ini akan memberi nilai tambah kepada pasukan,” ujarnya.
Bisa penyerang Jordan itu bakal ditagih Merah Kuning untuk aksi liga menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 8 Mac ini.