Nur Izzuddin-Goh Sze Fei memulakan aksi di All England dengan langkah kanan apabila menewaskan beregu dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.
Setelah muncul juara di India Open pada Januari, Izzuddin- Sze Fei berehat hampir satu bulan sebelum kembali beraksi di All England bertemu Gi Jung-Sa Rang di pusingan awal.
Untuk rekod, ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan ini namun Izzuddin-Sze Fei dilihat memiliki sedikit kelebihan berdasarkan kedudukan ranking semasa.
Permulaan sedikit goyah buat Izzuddin-Sze Fei apabila kerap kali diasak dengan pukulan-pukulan yang mengelirukan oleh beregu lawan ini sehingga ketinggalan 10-11 ketika interval.
Aksi lebih sengit dan mengujakan di pertengahan set ketika mata saling terikat 17-17 di kemuncak sebelum Izzuddin-Sze Fei memungut 4 mata berturut dan menang di set pertama.
Di set kedua, corak permainan lebih stabil serta positif mula ditampilkan oleh wakil negara ini dengan asakan lebih padu ke arah Gi Jung-Sa Rang untuk selesa di hadapan 11-7.
Serba tidak menjadi permainan daripada wakil Korea ini di set kedua apabila kerap membuat kesilapan yang memberi mata mudah, bagi membantu Izzuddin-Sze Fei muncul pemenang.
Pertarungan di gelanggang dua berakhir dengan keputusan 21-17, 21-14 memihak Izzuddin-Sze Fei.
Pada pusingan kedua nanti, Izzuddin-Sze Fei dijadualkan bertemu sama ada pasangan dari Thailand atau satu lagi beregu dari Korea Selatan sebelum ke suku akhir All England.