Alyiah Seow Terus Berbisa Di Singapura
MakanBola
Lion City Sailors WT

Penyerang muda wanita Malaysia, Putri Alyiah Seow terus menunjukkan bisa buat pasukannya, Lion City Sailors (LCS).

Ini selepas LCS membelasah Balestier Khalsa 14-0 dalam aksi terbaru Women’s Premier League (WPL). Kemenangan ini dilihat tonik terbaik buat pasukan itu selepas tewas dalam aksi sebelumnya kepada Albirex Niigata.

Seri Nurinsyirah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga. Madison Telmer menggandakan kelebihan tiga minit selepas itu dengan menyudahkan hantaran Yuvika Suresh.

Seri sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-15 dengan menyudahkan bola melepasi penjaga gol Balestier, Talia Sachet.

Syazwani Ruzi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-31. Seri kemudiannya mencipta hatrik pada minit ke-40.

Yuvika dan Madison masing-masing meledakkan gol bagi menjadikan kedudukan 7-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Balestier cuba bangkit dengan melancarkan beberapa serangan ke arah kubu pertahanan LCS.

Ini memaksa penjaga gol The Sailors, Izairida Shakira bertindak pantas menafikan setiap percubaan ke arah gawang mereka.

Seminit selepas babak kedua bermula, Madison melengkapkan hatrik. Nor Adriana Lim kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-48.

Tiga minit kemudian, Madison menyumbat gol keempat peribadinya dalam perlawanan itu. Beliau kemudiannya menjadi pencipta gol dengan membuat hantaran yang disudahkan Sarah Zu’risqha.

Adriana menjadikan kedudukan 12-0 menerusi gol pada minit ke-60. Alyiah yang masuk menggantikan Yuvika meledakkan dua lagi gol pada minit ke-74 dan minit akhir perlawanan.

Ini menjadikan Alyiah berkongsi penjaring terbanyak LCS sebanyak tujuh gol dengan Sarah dan Raeka Ee. Keputusan ini menyaksikan The Sailors terus kekal menerajui WPL dengan 13 mata.

Selepas ini, LCS akan menentang Tanjong Pagar United untuk aksi liga seterusnya pada 16 Ogos.