Bekas bintang Aston Villa, Anwar El Ghazi kembali menunjukkan sentuhan gol bersama kelab barunya, Cardiff City.
Nama pemain sayap Belanda berusia 29 tahun itu menjadi sebutan peminat bola sepak pada akhir tahun 2023 kerana ketegasannya menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
Hal ini menyebabkan El Ghazi dikenakan penggantungan oleh kelabnya ketika itu, FSV Mainz. Meskipun telah diberi amaran dan didenda oleh kelab, bekas pemain Ajax Amsterdam tetap dengan pendiriannya.
Ini menyebabkan Mainz memilih untuk memecatnya pada November 2023. Lantaran itu, El Ghazi membawa kes tersebut ke mahkamah buruh Jerman.
Hasilnya pada Julai 2024, mahkamah memutuskan tindakan pemecatan yang dilakukan Mainz sebagai tidak sah. Malah, mahkamah melihat pendirian yang dibuat El Ghazi berkenaan isu Palestin jatuh dalam lingkungan kebebasan bersuara di Jerman.
Atas sebab itu, mahkamah buruh Jerman menganugerahkan pampasan berjumlah €1.5 juta (RM2.4 juta) kepada beliau. El Ghazi kemudiannya memaklumkan sebahagian wang tersebut akan didermakan untuk projek kebajikan kanak-kanak di Gaza.
Selepas menyertai Cardiff pada Ogos lalu, bekas pemain Villa itu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kembali rentak di atas padang.
El Ghazi membalas kepercayaan pemangku jurulatih Cardiff, Omer Riza dengan membantu pasukan itu menewaskan Plymouth 5-0 dalam aksi terbaru Liga Kejohanan.
Lebih manis, pemain sayap Belanda itu mencipta nama sebagai penjaring dalam aksi berkenaan. Selain El Ghazi, Alex Robertson, Rubin Colwill, Callum Robinson dan Chris Willock turut mencetak nama sebagai penjaring.
Ini juga kemenangan terbesar Cardiff dalam Liga Kejohanan sejak 18 Februari 2017 di mana mereka mengalahkan Rotherham United 5-0. El Ghazi kini merekodkan lapan penampilan liga dan satu gol bersama The Bluebirds.