Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkesempatan menerima kunjungan bekas bintang Arsenal dan Jerman, Mesut Özil, ketika berada di Istanbul, Türkiye bagi lawatan kerja rasmi.
Menerusi perkongsian beliau, pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dengan perbincangan merangkumi pelbagai perkara termasuk bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta isu berkaitan kepentingan umat Islam, khususnya situasi kemanusiaan di Gaza.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa Mesut Özil kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Türkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Sebagai selingan santai, perbualan mereka turut menyentuh kisah cucu Perdana Menteri yang merupakan penyokong tegar Arsenal, satu perkara yang mengundang senyuman daripada bekas pemain tengah The Gunners itu.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Seri Anwar turut mengambil kesempatan mengundang Mesut Özil ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman berkaitan bola sepak profesional, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan golongan muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.
Untuk rekod, Mesut Özil pernah dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik dunia ketika berada di kemuncak kariernya, khususnya bersama Arsenal dan Real Madrid.
Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Jerman menjuarai kejohanan Piala Dunia 2014, selain meraih pelbagai pencapaian individu termasuk memenangi gelaran Pemain Terbaik Jerman sebanyak 5 kali dan dikenali sebagai arkitek utama di sebalik kejayaan kelab-kelab yang pernah diwakilinya.