Selepas 17 tahun bermain sebagai pemain bola sepak, jeneral bahagian tengah Jerman Mesut Ozil mengumumkan persaraannya hari ini. Bekas pemain tengah Arsenal itu berbuat demikian pada usia 34 tahun.
Selain Gunners, Ozil juga pernah beraksi untuk Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Fenerbahce dan kelab terakhirnya, Istanbul Basaksehir. Di pentas antarabangsa pula, beliau membantu Jerman menjulang Piala Dunia pada 2014 dan menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018.
“Selepas berfikir secara mendalam, saya dengan ini mengumumkan persaraan dari bola sepak profesional. Saya menganggap ini sebagai satu penghormatan beraksi sebagai pemain bola sepak selama 17 tahun dan saya amat bersyukur dengan peluang yang diberi.
“Tetapi dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini, selepas mengalami beberapa kecederaan, amat jelas sekali sudah tiba masanya untuk meninggalkan pentas besar bola sepak.
“Ia satu pengembaraan yang hebat penuh dengan emosi dan detik-detik yang tak dapat dilupakan. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua kelab saya – Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal, Fenerbahce, Basaksehir dan para jurulatih yang menyokong saya serta rakan-rakan sepasukan yang menjadi teman setia.
“Ucapan terima kasih yang teristimewa turut saya tujukan kepada ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat. Mereka menjadi sebahagian daripada perjalanan saya dari hari pertama dan memberikan banyak sokongan dan kasih sayang tidak kira pada masa yang baik atau buruk,” katanya dalam satu catatan di Instagram hari ini.
Walaupun karier permainannya tidak lari dari dilanda kontroversi, peminat terus setia memberi sokongan kepada Ozil. Atas sebab itulah, bekas pemain tengah Los Blancos itu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana setia memberi sokongan tanpa mengira kelab mana yang diwakilinya.
Ozil juga turut mendedahkan dengan persaraannya itu, dapatlah beliau meluangkan lebih banyak masa bersama isteri tercinta, Amine dan dua puteri mereka, Eda dan Ela. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan apa perancangannya selepas ini.
“Sekarang, saya tak sabar meluangkan masa dengan semua perkara di depan saya bersama isteri saya yang cantik, Amine dan dua anak perempuan saya, Eda dan Ela – tetapi saya jamin anda akan sentiasa mendengar cerita daripada saya dari semasa ke semasa di saluran media sosial saya. Jumpa lagi, Mesut!” tambahnya.