Kejayaan pasukan sepak takraw Malaysia meraih gelaran berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024 mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Malaysia mencipta sejarah dengan menggondol gelaran juara dunia acara double dan regu Piala Dunia Sepak Takraw.
Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat menceriakan penyokong di Stadium Titiwangsa dengan menewaskan Thailand di pentas final acara double. Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 17-16, 15-13.
Momentum itu kemudiannya diteruskan regu negara terdiri daripada Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias untuk acara regu.
Sekali lagi berdepan Thailand di pentas final acara regu, regu negara menamatkan dominasi mereka dengan keputusan 15-8, 15-12.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Anwar menyifatkan kejayaan yang dilakar pasukan sepak takraw sebagai satu pencapaian hebat dan luar biasa.
Beliau berharap kejayaan ini dapat dijadikan sebagai batu asas untuk mereka tampil lebih cemerlang selepas ini.
“Satu pencapaian yang membanggakan dan luar biasa! Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang!” katanya.
Malaysia bakal meneruskan cabaran dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024 menerusi acara berpasukan yang bermula pada hari ini.
Skuad negara bakal membuka tirai cabaran dengan menentang Brunei pada jam 3.00 petang. Ini disusuli perlawanan menentang Jepun pada 9.00 malam.