Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mendapat ‘habuan’ besar seandainya berjaya menewaskan Nam Dinh dalam perlawanan terakhir kumpulan B Shopee Cup.
Pertemuan Nam Dinh vs JDT menjadi salah satu perlawanan yang ditunggu-tunggu peminat tatkala kedua-dua kelab kini sedang berada di kedudukan teratas kumpulan B buat masa ini.
Kehadiran JDT ke bumi Vietnam pastinya dengan misi untuk memburu kemenangan mutlak tatkala Nam Dinh pula hanya memerlukan keputusan seri untuk kekal di puncak kumpulan B.
Kemenangan bakal melonjakkan kedudukan JDT di tangga teratas kumpulan B dengan 13 mata selepas 5 perlawanan, memintas Nam Dinh yang buat masa ini mengutip 12 mata.
Malah, skuad Harimau Selatan akan terus melebarkan rekod tanpa kalah dalam kesemua kejohanan musim ini kepada 14 aksi selepas kali terakhir tewas kepada Melbourne City pada November.
Lebih menarik, sekiranya JDT menang, anak-anak didik Xisco Munoz bakal layak sebagai juara kumpulan B dan dijadualkan turun berdepan Selangor yang muncul naib juara kumpulan A malam tadi.
Selangor mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu BG Pathum United di Stadium MBPJ malam tadi, namun sudah memadai untuk menghantar Gergasi Merah ke separuh akhir Shopee Cup.
Aksi Nam Dinh vs JDT bakal berlangsung di Stadium Thienh Truong hari ini dengan sepak mula perlawanan pada jam 8.30 malam.