Apa Tujuan Penyokong Selangor Demonstrasi Di Wisma FAM?
MakanBola
FA Malaysia

Tindakan sekumpulan penyokong Selangor dilaporkan berhimpun di hadapan ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan membawa sepanduk sebagai tanda protes terhadap isu semasa bola sepak negara, sekali gus menarik perhatian masyarakat.

Antara sepanduk yang dipamerkan termasuk tulisan “Gadai Negara, Maruah Dijajah” yang jelas menggambarkan tahap ketidakpuasan hati segelintir penyokong terhadap situasi yang sedang berlaku ketika ini.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Cakap Sukan, demonstrasi tersebut diketuai oleh Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor FC, Mohamad Hairy Ibrahim bersama beberapa penyokong lain yang hadir.

Protes itu berkait rapat dengan isu melibatkan tujuh pemain Malaysia, khususnya apabila empat daripada mereka beraksi dalam Liga Malaysia menggunakan kad pengenalan dan mendapat status sebagai pemain tempatan.

Pihak Malaysian Football League (MFL) sebelum ini telah menjelaskan bahawa pendaftaran pemain-pemain berkenaan adalah mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Liga Malaysia musim 2025-2026. Penjelasan rasmi ini sepatutnya memberi kepastian, tetapi ia tidak meredakan sepenuhnya kebimbangan segelintir penyokong.

Dalam masa sama, ruangan komen menjadi kecoh apabila tujuan demonstrasi itu dikaitkan dengan usaha bagi mendesak agar pemotongan mata dikenakan terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan penggunaan tiga daripada pemain berkenaan.

Namun, demonstrasi ini menimbulkan persoalan apabila penyokong mengaitkan isu kelab dengan nama negara, membawa sepanduk provokatif dan berhimpun di hadapan Wisma FAM.

Tindakan ini menimbulkan kekeliruan tentang niat sebenar protes, dan memberi gambaran bahawa demonstrasi lebih menumpukan kepada emosi dan tekanan terhadap pihak tertentu daripada menyelesaikan isu secara rasional.

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak FAM dan MFL mengenai demonstrasi ini.