Advertisement
Arab Saudi Ketepikan Tentangan Sengit Tajikistan
Asia
MakanBola
Saudi Arabia FF

Pasukan gergasi Asia Barat, Arab Saudi terus memperkukuh cengkaman sebagai pendahulu Kumpulan G dengan menewaskan Tajikistan dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026.

Selepas tersingkir dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala Asia 2023, The Green Falcons berharap dapat bangkit dalam aksi ketiga Kumpulan G menentang The Crowns.

Sementara Tajikistan yang mendapat sentuhan jurulatih baru dari Georgia, Gela Shekiladze pula ingin meneruskan momentum positif yang ditinggalkan jurulatih sebelumnya, Petar Segrt.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Al-Awwal.

Bagaimanapun, Arab Saudi terlebih dahulu di hadapan menerusi pemain sayap Al-Hilal, Salem Al-Dawsari pada minit ke-23.

Tersentak, pelawat berusaha mencari gol penyamaan. Malangnya, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan tuan rumah diketuai bek tengah veteran The Green Falcons, Ali Albulayhi.

Usaha keras yang ditampilkan barisan pertahanan Arab Saudi memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Tajikistan terus mengasak kubu tuan rumah yang dibimbing pengendali Itali, Roberto Mancini.

Shekiladze kemudiannya membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat menjelmakan gol penyamaan yang diidamkan The Crowns.

Malangnya, apa yang diharapkan beliau tidak berlaku. Arab Saudi kental mempertahankan keputusan 1-0 sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan The Green Falcons kekal bertakhta sebagai pendahulu Kumpulan G dengan sembilan mata. Sementara Tajikistan berada di tangga kedua kerana memiliki kelebihan jaringan meskipun berkongsi empat mata dengan Jordan.

Kedua-dua pasukan bakal bersemuka sekali lagi untuk aksi keempat kumpulan di Stadium Pamir, Dushanbe pada 26 Mac ini.