Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Arif Aiman Hanapi untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Ini selepas jurulatih skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon mendedahkan Arif mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya.
Sebelum ini, ramai tertanya-tanya tentang situasi kecederaan yang dialami pemain sayap berusia 22 tahun itu.
Ini selepas jurulatih JDT, Hector Bidoglio tidak menurunkan Arif untuk dua aksi liga menentang Negeri Sembilan FC dan KL City FC.
Situasi ini menyebabkan Pan-gon terpaksa melupakan khidmat Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 itu untuk aksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.
“Apabila kita mendapat maklumat (Arif Aiman Hanapi) daripada kelab (JDT), buku lalinya mengalami kecederaan. Itu sebab kita tidak memanggil beliau kali ini,” katanya kepada media di Wisma FAM hari ini.
Selain Arif, Harimau Malaya juga terpaksa melupakan beberapa penyerang kebangsaan seperti Faisal Halim, Romel Morales dan Syafiq Ahmad kerana masalah sama. Sementara tahap kecergasan penyerang Sabah FC, Darren Lok dipantau pasukan perubatan.
“Kes (simbahan asid) Faisal Halim, Arif Aiman cedera dan Syafiq Ahmad (alami kecederaan) hamstring. (Romel) Morales (alami kecederaan) buku lali.
“Hari ini, kita masih lihat keadaan hamstring Darren Lok sekali lagi. Jadi, semua pemain serangan (negara) yang hebat terpaksa disisihkan,” tambahnya.
Skuad negara akan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.