Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini boleh diletakkan sebaris bintang ternama di Asia selepas memperagakan persembahan terbaik baru-baru ini.
Bintang muda berusia 22 tahun itu menjadi watak penting buat pasukan kendalian Tano Solari untuk membenam cabaran wakil Thailand, BG Pathum United.
Arif berjaya menjaringkan dua gol ketika JDT menang dengan keputusan 4-2 untuk membantu pasukan merakamkan kemenangan pertama di Asia.
Persembahan memukau itu telah meletakkan pemain lincah ini dalam kesebelasan terbaik mingguan.
Berdasarkan kemas kini statistik oleh laman Sofa Score, bintang Harimau Malaya ini dinilai antara paling tinggi pada aksi minggu ke-2.
Arif menerima penilaian paling tinggi dalam kalangan pemain JDT iaitu 8.9 diikuti rapat oleh Juan Muniz (8.2) dan Bergson (8.0).
Persembahan ini meletakkan dua pemain utama JDT iaitu Arif dan Muniz dalam kesebelasan terbaik mingguan.
Berdasarkan statistik, Arif merekodkan 3 percubaan tepat, 4 gelecekan sempurna, melakukan dua penciptaan peluang dan memenangi 10 pertarungan bola di atas padang.
Kemenangan besar itu juga membantu JDT untuk merekodkan 126 jaringan dalam semua pertandingan sebelum melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia pada 19 Oktober sebelum berkunjung ke Ulsan selang beberapa hari.