Pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi hadir menziarahi pemain sayap Selangor, Faisal Halim.
Selepas diangkat sebagai juara Piala FA 2024-2025 baru-baru ini, Arif mengambil kesempatan untuk menyantuni rakan sepasukannya di kem kebangsaan iaitu Faisal Halim.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik Arif di laman IG Story, Arif mendoakan kesembuhan buat pemain berusia 26 tahun itu.
“Segera sembuh dan semoga dipermudah urusan Mickey (Faisal Halim),” tulis Arif.
Hantaran Arif itu turut dimuat naik Faisal yang menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan kehadiran pemain muda itu.
Faisal juga sempat mengucapkann selamat maju jaya buat Arif yang akan bersama skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka pada bulan September kelak.
“Terima kasih Messi (Arif Aiman) datang melawat dan bagi semangat. Selamat maju jaya untuk perlawanan nanti,” tulis Faisal.
Insiden pahit yang menimpa Faisal Halim apabila disimbah asid pada 5 Mei lalu telah mendapat perhatian ramai pihak.
Selepas lebih tiga bulan berjuang untuk kembali pulih, Faisal Halim akhirnya telah kembali untuk beraksi bersama Selangor sebagai pemain gantian dalam dua siri aksi Liga Super ketika menentang Kelantan Darul Naim dan Sabah baru-baru ini.