Arkitek Real Sociedad dan pasukan kebangsaan Sepanyol, Martin Zubimendi menjadi sasaran utama buat kelab Liga Pernada Inggeris (EPL), Liverpool.
Perkara itu dikongsikan oleh laman X tekenal, Transfer News Live dan ianya telah disahkan oleh wartawan sukan terkemuka, David Ornstein.
Namun ianya bukan jalan mudah buat Liverpool apabila kelab popular England itu perlu membayar sekurang-kurangnya 60 juta euro untuk mendapatkan khidmat Zubimendi.
“Martin Zubimendi telah memberi lampu hijau untuk berpindah ke Liverpool. Kini The Reds mesti mencapai persetujuan dengan Real Sociedad dengan sejumlah bayaran. Klausa pelepasannya ialah 60 juta euro,” kongsi Transfer News Live di laman X.
Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, ianya jelas akan memperkuatkan bahagian tengah Liverpool yang kini dihuni beberapa pemain terkenal seperti Wataru Endo, Alexis MacAllister dan Dominik Szoboszlai.
Zubimendi merupakan salah seorang pemain Sepanyol yang berjaya memenangi kejohanan Euro 2024 selepas menewaskan England 2-1 dalam perlawanan akhir pada 15 Julai lalu.
Sebagai info, Liverpool yang kini dibimbing jurulatih baharu, Arne Slot merupakan satu-satunya pasukan EPL yang masih belum membeli pemain pada musim perpindahan kali ini.