Arsenal vs Man City: Insiden De Bruyne Tolak Arteta Musnahkan 3 Mata Berharga

YouTube Stadium Astro Arsenal vs Man City: Insiden De Bruyne Tolak Arteta Musnahkan 3 Mata Berharga
Stadium Astro
Azim Noor @mohdazim45
11:55am 16/02/2023

Ramai penyokong Arsenal hampa selepas pasukan mereka tewas kepada Manchester City 3-1 awal pagi tadi. Tetapi Kevin De Bruyne menjadi tumpuan selepas bertolak-tolak dengan Mikel Arteta untuk mendapatkan bola.

Babak pertama menyaksikan de Bruyne meletakkan Citizens di depan pada minit ke-24. Gunners kemudiannya menceriakan penyokong mereka di Stadium Emirates menerusi gol penalti Bukayo Saka pada minit ke-42 bagi mengikat kedudukan 1-1.

Sebaik separuh masa kedua bermula, berlakulah insiden tolak-menolak antara Arteta dengan kapten Manchester City itu pada minit ke-51. Bekas penolong Pep Guardiola itu dikatakan cuba menghalang de Bruyne daripada mendapatkan bola untuk meneruskan permainan.

Berang dengan sikap pengurus Arsenal itu, bekas pemain tengah Chelsea itu menolak Arteta sebelum mendapatkan bola. Akibatnya, ini mencetuskan kemarahan pemain tengah Switzerland, Granit Xhaka yang mahu bersemuka dengannya.

Bagaimanapun, ketegangan tidak berlangsung lama disebabkan kepantasan beberapa staf kejurulatihan Gunners untuk masuk campur dan menenangkan keadaan.

City kemudiannya mendahului menerusi sepakan deras Jack Grealish pada minit ke-71. Erling Haaland menambah derita tuan rumah pada minit ke-82 menerusi gol ketiga menewaskan penjaga gol Aaron Ramsdale.

Kemenangan ini melonjakkan City ke tangga teratas EPL dengan 51 mata. Walaupun berkongsi mata sama dengan Arsenal, anak-anak buah Guardiola mendahului menerusi perbezaan jaringan.

Insiden tolak-menolak Arteta-de Bruyne menjadi bualan penyokong dan penganalisis bola sepak. Bagi bekas penyerang Chelsea, Andy Townsend, apa yang dilakukan bekas pemain Everton itu bersifat mengarut dan remeh.

“Ini kerja mengarut dan bodoh, dia (Arteta) lebih baik daripada itu,” katanya semasa menjadi pengulas perlawanan City-Arsenal awal pagi tadi.

Arsenal yang kini mengharungi tiga perlawanan EPL tanpa kemenangan pastinya mahu menghentikan trend tersebut apabila menentang Aston Villa pada 18 Februari. Sementara Manchester City pula ke City Ground menentang Nottingham Forest pada hari yang sama.