Gergasi bola sepak England, Manchester United terus dirundung malang selepas tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge dalam aksi minggu ke-9 Liga Perdana Inggeris (EPL).
United yang beraksi di gelanggang lawan menurunkan skuad terkuat dengan Bryan Mbuemo menjadi penyerang tunggal manakala Bruno Fernandes memakai lilitan kapten pasukan. Berbeza dengan Chelsea yang turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Joao Pedro, Emiliano Martinez dan Jordan Henderson.
Perlawanan dimulakan dengan penguasaan bola lebih memihak kepada pasukan pelawat yang mengawal perlawanan dengan baik.
Amad Diallo hampir mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-31 namun percubaannya ditepis Mike Penders di gawang Chelsea.
Serangan balas Chelsea dilihat agak merbahaya dengan mereka acap kali menggunakan kepantasan yang dimiliki Estevao dan Pedro Neto.
Beberapa minit sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiup, Chelsea peroleh peluang keemasan menerusi Pedro Neto yang merampas bola dari kaki Harry Maguire namun percibaan Neto sedikit tersasar sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Chelsea tampil lebih agresif dalam melancarkan serangan dan tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol . Pada minit ke-50, Morgan Rogers mempamerkan aksi individu menarik menerusi satu larian solo yang berjaya memperdayakan beberapa pemain pertahanan lawan sebelum tenang menyudahkan peluang untuk meledak gol pertama buat Chelsea.
Mendahului 1-0, Chelsea terus menyerang untuk mencari jaringan seterusnya dengan benteng United dipaksa bekerja keras mengekang serangan pantas Chelsea.
Manchester United menerima tamparan hebat apabila terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain bermula minit ke-63 selepas Lisandro Martinez dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua dalam perlawanan tersebut. Lebih malang, kekasaran yang dilakukan Martinez berlaku di dalam kotak penalti sekali gus menyaksikan Chelsea turut dihadiahkan sepakan penalti.
Cole Palmer yang diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti itu tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakannya untuk meletakkan Chelsea di hadapan 2-0.
Estevao hampir menambah duka United dengan jaringan ketiga pada minit ke-64 namun jaringan pemain muda Brazil itu dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid.
Kekurangan seorang pemain nyata memberikan masalah buat United untuk menguasai bola dengan Chelsea mempamerkan penguasaan penuh.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Chelsea di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Dengan kemenangan ini, Chelsea melonjak ke kedudukan ke-4 buat sementara waktu manakala United pula terus terperosok di kedudukan ke-16 liga.
Untuk aksi seterusnya, Chelsea akan bertemu Sunderland pada 8 November manakala United pula dijadualkan bertemu Aston Villa pada 9 November depan.


