Saingan ASEAN Hyundai Cup menyaksikan lapan peraturan yang diperkenalkan dalam Piala Dunia 2026 akan diterapkan untuk kejohanan itu.
SNE Sports melaporkan antara peraturan tersebut ialah had lima saat untuk balingan ke dalam, pemain yang digantikan perlu keluar segera dan pemain yang cedera perlu menunggu seminit sebelum kembali ke padang.
Pasukan-pasukan yang bertanding juga tidak dibenarkan mengadakan diskusi taktikal ketika rawatan diberikan. VAR pula diberi kuasa tambahan untuk menyemak situasi seperti potensi kad kuning kedua dan sepakan percuma atau sudut.
Jika ada pemain yang menutup mulut dengan tujuan mengejek pemain lain, maka pengadil diberi kuasa melayangkan kad merah buat si pelaku.
Kad merah juga akan dilayangkan buat pemain yang sengaja meninggalkan padang. Jika satu pasukan melakukan perkara sama, ini bermakna mereka memberi kemenangan automatik kepada pihak lawan.
Jika VAR mengalami masalah teknikal, VAR boleh digunakan semula dengan segera tanpa perlu menunggu sehingga separuh masa kedua.
Pasukan-pasukan ASEAN boleh menghela nafas lega kerana Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tidak memperkenalkan rehat hidrasi dalam kejohanan ini. Pengenalan rehat berkenaan di Piala Dunia mendapat kecaman penyokong dan legenda bola sepak.
ASEAN Hyundai Cup membuka tirainya dengan Vietnam dan Singapura masing-masing meraih kemenangan dalam Kumpulan A.