Skuad sepak takraw Malaysia hampa apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final regu Sukan Asia 2023.
Pertembungan dua pesaing tradisi ini sudah dijangka selepas kedua-duanya masing-masing mengetepikan Filipina dan Vietnam di pentas separuh akhir.
Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharom masih mengekalkan kepercayaan kepada Zarif Merican (tekong), Amirul Zazwan Amir (feeder) dan Azlan Alias (killer) sebagai regu utama.
Sementara Thailand yang dibimbing Kamol Tankhipong pula mempertaruhkan Sittipong Khamchan (tekong), Pattarapong Yupadee (feeder) dan Pichet Pansan (killer).
Pada awalnya, skuad negara mempamerkan prestasi menyakinkan dengan mendahului pada kedudukan 3-1.
Bagaimanapun, regu Thailand berjaya mengejar sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 21-15.
Regu negara berusaha memberi tentangan sengit kepada regu Thailand pada set kedua. Bagaimanapun, Thailand membuktikan mereka lebih ampuh dengan keputusan 21-19.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Palembang pada 2018.