Skuad hoki wanita Malaysia mengalami nasib sama seperti skuad hoki lelaki apabila gagal mara ke separuh akhir Sukan Asia 2023.
Ini selepas mereka dibelasah Korea Selatan 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A hari ini. The Malayan Tigress tahu mereka perlu menang jika mahu mara ke separuh akhir.
Malangnya, anak-anak buah Nasihin Nubli Ibrahim bermula dengan langkah kiri apabila dibolosi gol penalti Cho Eun-ji pada minit ke-13.
Sembilan minit kemudian, An Su-ji memastikan Korea Selatan makin selesa dengan gol padang selepas menewaskan penjaga gol Nur Hazlinda Zainal Abidin.
Bersambung pada babak kedua, Seo Jung-eun menambah gol ketiga pada minit ke-36. Dua minit selepas itu, Su-jin menyempurnakan pukulan penalti yang menewaskan Nur Hazlinda.
Lee Yu-ri melengkapkan kecemerlangan Korea Selatan dengan gol kelima pada minit ke-48. Keputusan ini membolehkan mereka mengiringi India ke separuh akhir.
Sementara Malaysia pula perlu mengatasi Thailand untuk perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam pada 7 Oktober sekiranya mahu mengekalkan pencapaian tempat kelima yang dicapai pada Sukan Asia 2018.