Skuad hoki senior Malaysia meneruskan kecemerlangan dalam Kumpulan B Sukan Asia 2023 apabila membelasah Oman 11-1 hari ini.
Selepas cemerlang membelasah Thailand 9-0 dalam aksi pertama kumpulan, anak-anak buah Arul Selvaraj mahu memastikan kemenangan kedua diraih.
Begitupun, dengan Oman menduduki ranking keenam Asia, mereka tetap berupaya mengancam skuad negara sekiranya mereka leka.
Justeru, The Speedy Tigers memastikan mereka meraih kelebihan awal menerusi pukulan penalti Razie Rahim pada minit ketiga.
Oman terus ditimpa malang apabila skuad negara dianugerahkan penalti stroke pada minit ke-11. Ini selepas Akram Ramadhan didapati mengasari pemain negara dalam kotak D.
Razie tenang menyempurnakan penalti stroke menewaskan penjaga gol Oman, Said Rashid Obaid Al-Hasni. Ashran Hamsani menambah gol ketiga Malaysia pada minit ke-14.
The Speedy Tigers terus mengganas dengan gol keempat yang dijaringkan Shello Silverius pada minit ke-18. Begitupun, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama 10 minit selepas Azrai Aizad Abu Kamal dilayangkan kad kuning.
Ini memberi peluang kepada Oman merapatkan jurang menerusi Fahad Al Lawati pada minit ke-23. Keceriaan pasukan Asia Barat itu tidak bertahan lama apabila Faizal Saari menyumbat gol kelima pada minit ke-26.
Azrai Aizad menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol keenam buat The Speedy Tigers. Oman terus menderita apabila Ashran menyumbat gol ketujuh pada minit ke-30.
Bersambung pada babak kedua, The Speedy Tigers terus bernafsu memburu gol. Najmi Jazlan menyempurnakan pukulan penalti kencang untuk gol kelapan pada minit ke-34.
Oman terus longlai apabila Ashran menyempurnakan hatrik pada minit ke-35. Azrai Aizad kemudiannya menambah gol ke-10 skuad negara pada minit sama.
Faizal melengkapkan kecemerlangan The Speedy TIgers menerusi gol ke-11 pada minit ke-40. Keputusan 11-1 ini kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Malaysia kembali memintas Korea Selatan dari segi kelebihan jaringan untuk mendahului Kumpulan B.
Kejayaan Malaysia sudah pasti buat Indonesia kecut perut kerana mereka lawan negara seterusnya pada 28 September ini.