Skuad sepak takraw Malaysia terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum mengatasi Vietnam dalam acara regu Kumpulan A Sukan Asia 2023 hari ini.
Malaysia yang dianggap regu pilihan menurunkan Afifuddin Razali, Amirul Zazwan Amir dan Zarif Merican. Manakala Vietnam pula memilih Dau Van Hoang, Vuong Minh Chau dan Nguyen Hoang Lan.
Set pertama menyaksikan regu negara ketinggalan kepada regu Vietnam sebelum tunduk menerusi keputusan 21-17.
Tidak mahu anak-anak buahnya terus ketinggalan, jurulatih Ahmad Jais Baharom memberi semangat kepada regu negara untuk mengejar.
Hasilnya, regu Malaysia mempamerkan kebangkitan dengan meninggalkan Vietnam jauh di belakang sebelum memenangi set kedua dengan keputusan 21-9.
Vietnam cuba memberi tentangan dalam set ketiga tetapi skuad negara memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 21-11.
Sindrom ‘lambat panas’ ini perlu diatasi segera sekiranya Malaysia mahu mempertahankan pingat emas acara regu yang dimenangi di Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia.
Selepas ini, skuad sepak takraw negara bakal menentang Singapura untuk aksi kedua Kumpulan A pada jam 2.00 petang ini.