Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri melihat kesukaran Penang FC menjaringkan gol berpunca ketiadaan penjaring gol yang konsisten.
Beliau berpandangan demikian apabila mengulas aksi pasukan itu dengan Perak FC di Stadium Bandaraya pada 12 Januari lalu.
Perlawanan terbaru Liga Super itu berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3. Penyerang Harimau Kumbang dari Australia, Dylan Wenzel-Halls meledakkan hatrik dalam aksi tersebut.
Walau bagaimanapun, hasrat Penang meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong mereka musnah. Luciano Guaycochea, Clayton da Silva dan Adilet Kanyebekov memastikan Perak meraih satu mata.
Asmawi melihat ketiadaan penjaring gol yang tetap memberi kesukaran kepada Harimau Kumbang untuk mendapatkan keputusan positif dalam liga.
“Penang sebenarnya (mengalami) kekurangan individu penjaring gol yang konsisten, kena ada orang macam itu,” katanya semasa menjadi panel Nindia.
“Kalau Wenzel-Halls sudah dapat momentum dengan hatrik, Penang perlukan dua atau tiga orang lagi macam Alif (Ikmalrizal), Nabil (Ahmad Latpi) atau pemain lain untuk membantu menambah kutipan jaringan.”
Ini turut disokong dengan statistik penjaring terbanyak Liga Super. Rodrigo Dias muncul penjaring terbanyak Penang dengan enam gol diikuti oleh Wenzel-Halls dengan empat gol.
Neto, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Rafael Vitor masing-masing menyumbat dua gol buat Harimau Kumbang.
Penang kini mengalihkan fokus untuk aksi separuh akhir MFL Challenge Cup menentang Selangor FC. Aksi separuh akhir bakal berlangsung pada 19 Januari dan 2 Februari ini.