Suasana di Gimnasium Xiaoshan Linpu cemas seketika pagi tadi apabila atlet jiu-jitsu Malaysia, Cassandara J. Poyong pengsan di atas gelanggang.
Insiden ini berlaku apabila beliau turun menentang atlet jiu-jitsu Thailand, Orapa Senatham untuk pusingan 16 terbaik acara wanita 57 kg.
Selepas dijatuhkan lawannya, Cassandra kelihatan tidak sedarkan diri sebelum kemudiannya dibantu oleh pegawai perlawanan yang bertugas.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang membuat liputan acara berkenaan memaklumkan atlet negara itu berada dalam keadaan baik.
“Atlet Ju-jitsu negara Cassandra J Poyong pengsan kejap, nasib baik tak ada apa. Thailand menang TKO,” katanya di platform X.
Keadaan ini memberi laluan kepada Orapa untuk mara ke suku akhir. Berdasarkan laporan terkini, beliau kini meraih pingat gangsa acara berkenaan buat Thailand selepas mengatasi rakan senegara, Rattana Thatthong lebih sejam yang lalu.