Lee Zii Jia meneruskan persembahan cemerlangnya di Australian Open 2024 apabila menumbangkan seorang lagi pemain dari Malaysia, Soong Joo Ven pada aksi pusingan 16 terbaik.
Pada pusingan pertama semalam, Zii Jia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan wakil India, S. Sankar Subramaniam yang merupakan pemenang pingat perak World Junior Championship 2022 dalam aksi tiga set.
Berdepan Soong Joo Ven buat kali pertama sejak 2019, pemain kelahiran Kedah ini turun dengan misi memburu tiket ke suku akhir selain melebarkan rekod kemenangan setelah kali terakhir kedua-dua pemain bertemu adalah di Malaysia Masters lima tahun yang lalu.
Perlawanan berlangsung sengit sejak awal permainan apabila Joo Ven sering mendesak Zii Jia untuk melakukan kesilapan-kesilapan kecil untuk meraih mata sehingga kedudukan terikat 10-10 pada suatu ketika.
Joo Ven sempat bangkit mendahului untuk seketika namun Zii Jia mula menukar rentak dengan beberapa siri pukulan silang yang berjaya menewaskan lawannya itu sekaligus mengakhiri set pertama dengan kemenangan 21-18.
Bersambung di set kedua, Zii Jia tampil dengan permainan lebih kemas selepas rehat untuk memastikan rakan senegaranya, Joo Ven tidak berupaya memberikan saingan dalam aksi tersebut.
Zii Jia terus jauh memecut meninggalkan kedudukan mata 19-13 tatkala Joo Ven sudah mula kehilangan rentak permainan untuk menutup aksi dengan kemenangan di set kedua 21-14.
Aksi di gelanggang dua berakhir dengan keputusan 21-18, 21-14 memihak Lee Zii Jia.
Kemenangan ini membawa Zii Jia mara ke peringkat suku akhir pada Jumaat dan bakal menempah pertemuan menentang pemenang di antara wakil Jepun, Kenta Nishimoto atau Kiran George dari India yang akan bertemu dalam satu lagi aksi.