Bekas pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak telah menceritakan pahit manis beliau sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional untuk pasukan Kelantan.
Salah-satunya adalah tentang album khas yang ayahnya simpan sewaktu beliau menyarung jersi Kelantan tanpa pengetahuan Zairul Fitree sendiri.
Jersi Kelantan tahun 2009, hadiah jam tangan daripada isterinya, Pingat Setia daripada Sultan Kelantan, pingat naib juara Piala FA 2011 antara barang kesayangan Zairul Fitree tetapi album koleksi gambar beliau yang paling mencuri tumpuan.
Bapanya memberikan album gambar tersebut setelah Zairul Fitree bersara daripada arena bola sepak dan mengandungi keratan akhbar tentang dirinya serta pasukan Kelantan termasuk pencapaian beliau bersama The Red Warriors.
“Ini antara barang yang paling saya sayang. Ini pemberian daripada ayah saya sendiri selepas saya tamat bermain bola sepak. Ayah saya tak pernah ke stadium sewaktu saya bermain untuk Kelantan.”
“Selepas saya tamatkan karier bola sepak, dia telah berikan buku ini. Saya rasa dihargai oleh seorang ayah kerana saya sendiri tak tahu ayah saya simpan macam-macam cerita tentang TRW dulu sedangkan beliau tak pernah ke stadium.”
“Saya dapat buku ini pada tahun 2020 semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dulu. Ayah suruh simpan elok-elok untuk anak-anak saya lihat. Saya memang tak pernah tahu ayah buat koleksi ini, lagipun ayah tak pernah ke stadium untuk lihat saya bermain bola sepak. Jadi ini barang berharga buat saya.” ujar Zairul Fitree.
Zairul Fitree telah berkongsikan lima barang yang berharga buat dirinya dalam program Ini Cerita Saya di laman Youtube rasmi milik Malaysian Football League (MFL).
Zairul Fitree atau dikenali sebagai Roppy merupakan antara pemain pertahanan terbaik Kelantan dan beliau setia bersama Kelantan sejak tahun 2007 sehingga tahun 2017.
Beliau bermain selaku pertahanan kiri dan pernah membantu Kelantan memenangi pelbagai kejuaraan dari tahun 2010 sehingga 2013 termasuk kejuaraan treble (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA) pada tahun 2012.
Zairul Fitree yang menceburi bidang kejurulatihan pada awal tahun 2022 kini bergelar pembantu jurulatih untuk pasukan Kelantan Darul Naim yang beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025.