Bekas pemain kebangsaan, Azamuddin Akil berkongsi tangga gaji yang diterimanya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Tonggak berusia 39 tahun itu kini beraksi di Liga A1 Semi Pro bersama YPM FC dan menjadi antara watak penting di sana.
Beliau dalam satu sesi audio siar bersama Astro Arena memaklumkan bahawa beliau masih lagi boleh beraksi sebagai pemain bola sepak profesional.
Azamuddin sempat bercerita tentang kisah perjalanan kariernya bermula dari Shahzan Muda hinggalah berjaya menyarung jersi JDT dan Selangor suatu ketika dahulu.
Anak jati Pahang ini turut memaklumkan bahawa beliau pernah menikmati tangga gaji yang amat baik semasa beraksi pada kemuncak karier.
“Pernah capai RM100,000?,” soal Nizaruddin Yusof.
“Tak pernah, puluh ribu la. Kita ni pemain bola sepak ibarat artis. Setiap tahun, kita berniaga diri kita. Kalau kita nak dapat lebih, kau kena beraksi baik setiap tahun.
Beliau juga yakin bahawa pemain perlu sentiasa bekerja keras dan sentiasa menambah baik prestasi setiap tahun.
“Apabila pemain itu dah beraksi baik, jangan angkuh. Pemain perlu sentiasa menambah baik, kalau tahun ini 100%, tahun depan 200%. Setiap tahun orang akan baca permainan kalian,” tambahnya kepada Astro Arena.
Azamuddin juga merupakan watak penting buat skuad kebangsaan dan pernah membantu Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2014.