Lagenda bola sepak Malaysia, Nizaruddin Yusof memberi cadangan kepada bintang warisan negara, Kobe Chong.
Tonggak berusia 22 tahun itu kini berada di Malaysia dan difahamkan melakukan rundingan dengan beberapa kelab Liga Super.
Beliau sebelum ini beraksi bersama King’s Lynn FC di England mengakui sudah beberapa tahun mengikuti arena bola sepak negara.
Kobe turut memaklumkan telah memantau rapat persembahan Harimau Malaya bermula dari kempen Piala Asia dan juga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Nizaruddin Yusof memberi pandangan beliau secara jujur kepada Kobe Chong mengenai kelab yang patut disertainya sekiranya mahu beraksi di Liga Malaysia.
“Bagi saya, beliau (Kobe) perlu pandai memilih pasukan yang ingin diwakilinya.
“Kerana kalau kita lihat daripada desas-desus, ada tiga pasukan yang inginkan khidmatnya tetapi pada pendapat saya sebagai bekas pemain, dia perlu mencari pasukan yang dia boleh bermain.
Nizaruddin juga yakin Selangor merupakan pasukan terbaik buat bekas pemain Cagliari ini untuk mendapat lebih banyak minit bermain.
“Dia perlu mendapatkan minit permainan yang banyak. Kobe mungkin akan lebih selesa bersama jurulatih (Selangor) Nidzam Jamil kerana saya dapat lihat jurulatih itu gemar memberikan peluang buat pemain-pemain muda untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Jika dia diberikan peluang untuk bermain, saya rasa dia akan dapat membuktikan kebolehannya dalam masa yang singkat,” jelasnya kepada Astro Arena.
Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan perpindahan ke tiga kelab iaitu JDT, Selangor dan Terengganu yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.