Pemain sayap Perak FC, Nur Azfar Fikri Azhar berharap masih ada ruang buat pasukan itu diselamatkan.
Perak bakal menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) susulan kemelut luar padang termasuk isu tunggakan gaji.
Malah, kelab juga hanya dapat melangsaikan 20% daripada tunggakan gaji berjumlah RM5 juta. Ini kerana Perak hanya memiliki baki RM1 juta dalam akaun bank.
Azfar mengakui kecewa dengan situasi yang dihadapi The Bos Gaurus ketika ini. Pada masa sama, beliau berharap ada pihak yang tampil untuk membantu pasukan itu daripada dibubarkan.
“Kalau satu pihak sudah buat, sah pihak-pihak lain akan buat. Sebab benda ini nampak sangat mudah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
“Anda datang nak tutup pasukan dan kemudian hanya bayar 20% (daripada tunggakan), sakit itu tak boleh. Saya harap tiada pihak yang ambil kesempatan dalam bola sepak ini.”
Sebelum ini, pengerusi The Bos Gaurus, Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi memaklumkan kepada Nadi Arena ada pihak yang menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan itu.
Justeru, satu pertemuan bakal diadakan pada minggu ini. Abdul Azim berharap sekiranya semua berjalan lancar, Perak berpotensi untuk kekal dalam liga musim hadapan.