Azzmi Aziz Terkejut Digantung PDRM FC

Azzmi Aziz Azzmi Aziz Terkejut Digantung PDRM FC
FA Kedah
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:57am 22/06/2023

Tiada hujan, tiada ribut dan secara tiba-tiba. Itulah yang bermain di fikiran jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz yang direhatkan daripada mengendalikan pasukan ‘The Cops’ itu. Ini kerana segala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan berjaya direalisasikan.

Walau bagaimanapun, Azzmi mahu terus memandang ke hadapan dan hanya mahukan penjelasan yang lebih lanjut dan lebih terperinci daripada pihak pengurusan PDRM FC mengenai sebab utama beliau direhatkan.

“Perkara tersebut (direhatkan) berlaku dengan sepantas kilat. Saya pun tak tahu apa isu yang sebenarnya timbul sampai saya perlu direhatkan. Saya dimaklumkan supaya tak perlu lagi melatih pasukan ini (PDRM FC) serta merta, saya tak perlu hadir ke padang. Itu yang saya dapat dan tertulis di dalam surat.

“Sangat ringkas. Jadi saya tak nampak isu dan puncanya. Itu yang saya boleh katakan,” luah Azzmi kepada Nadi Arena.

Dalam pada itu, Azzmi berharap para pemain PDRM FC untuk terus kekal positif dalam menghadapi baki aksi musim ini. Ini kerana, beliau melihat kemajuan pasukan itu sejak mengambil alih posisi jurulartih Disember 2022.

“Saya harap pemain-pemain saya kekal positif. Saya percaya kita dah lakukan kerja dengan sangat baik sejak saya mula melatih mereka sejak bulan Disember. Saya nampak kemajuan pemain-pemain. Saya harap ketiadaan saya ini, tidak akan mengganggu mereka. Saya doakan mereka terus sukses,” jelas Azzmi lagi.

PDRM FC melalui perjalanan liga yang agak baik musim ini selepas berjaya mengejutkan beberapa pasukan besar seperti Sabah FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC. Difahamkan pengurusan The Cops melihat kekalahan tujuh kali berturut-turut yang dialami pasukan sejak April sebagai punca Azzmi direhatkan.