Badan Pengadil Mohon Maaf Kepada Manchester United
MakanBola
Manchester United

Badan pengadil profesional England memohon maaf kepada Manchester United atas kesilapan pegawai VAR membenarkan gol kontroversi Erling Haaland dalam perlawanan menentang Manchester City.

Gol Haaland dalam perlawanan di Old Trafford itu pada awalnya dibatalkan kerana kesalahan ofsaid. Walau bagaimanapun, selepas disemak semula, pengadil Michael Oliver kemudiannya menganugerahkan gol kepada pelawat.

Meskipun begitu, Pro Ref kemudiannya memaklumkan bahawa gol tersebut tidak sepatutnya dikira kerana Enzo Fernandez berada pada kedudukan ofsaid.

“Mengikut keterangan, Enzo Fernandez tidak menyentuh dan itu menjadikan mana-mana kesalahan ofsaid bersifat subjektif.

“Walau bagaimanapun, dalam situasi ini, VAR tidak mengira kemungkinan impak kedudukannya dan sepatutnya mencadangkan semakan semula di atas padang.

“Komunikasi telah dibuat dengan Manchester United bagi mengakui apa yang kita lihat sebagai kesilapan dalam membuat keputusan. Semakan semula insiden juga akan dilakukan,” kata Pro Ref seperti dilaporkan BBC Sport.

Bek tengah United, Lisandro Martinez melabel insiden tersebut sebagai satu ketidakadilan. Pengurus The Red Devils, Michael Carrick menganggap apa yang berlaku sebagai mengelirukan.

Legenda United, Wayne Rooney turut menegaskan gol tersebut tidak sepatutnya dikira. “Sudah tentu ini ofsaid. Martinez terganggu dengan pergerakan Fernandez dan beliau berada pada kedudukan ofsaid,” katanya.

Insiden gol Haaland bukan satu-satunya insiden yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong. Aksi ini turut menyaksikan Phil Foden dibuang padang kerana menendang kapten United, Bruno Fernandes.

Legenda The Red Devils, Gary Neville menyifatkan Foden memang layak dikenakan kad merah oleh Oliver. Pada masa sama, Fernandes juga patut dilayangkan kad kuning kerana menendang pemain perancang City itu.

Ini bukan kali pertama Pro Ref terpaksa memohon maaf kepada pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) atas kesilapan pegawai perlawanan. Musim lalu menyaksikan badan itu memohon maaf kepada Nottingham Forest kerana membenarkan gol United.