Perlawanan kedua pasukan kebangsaan bagi kempen Piala AFF menyaksikan Malaysia menang besar keatas Laos dengan jaringan 4-0. Percaturan Tan Cheng Hoe yang turun mempertaruhkan pemain-pemain tempatan membuahkan hasil sekaligus berjaya menatijahkan kemenangan kedua buat pasukan.
Pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar menjadi nadi kepada jentera tengah pasukan hari ini. Peranan bekas kapten Kedah itu telah ditagih Cheng Hoe dalam dua perlawanan dan beliau berjaya buktikan kredibilitinya sebagai pemain tengah yang penuh karisma.
Pengalaman yang ada pada pemain berusia 32 tahun itu digunakan sebaik mungkin ketika digandingkan dengan pemain muda, Mukhairi Ajmal. Bermain selama 90 minit permainan telah memberi ruang buat Baddrol memimpin bahagian tengah dengan konsisten.
Menurut hantaran di akaun Twitter AFF Suzuki, Baddrol mencatatkan heat map yang cemerlang dan menjadi pemain paling bertenaga dalam perlawanan. Kejayaan ini pasti akan meningkatkan lagi semangat Baddrol dalam mengekalkan momentum terbaik beliau ketika ini.
Baddrol turut terlibat dalam jaringan ketiga perlawanan apabila berjaya melakukan lorongan cantik buat Shahrul Saad. Lorongan tepat Baddrol pada minit ke-78 permainan disempurnakan dengan baik oleh Shahrul.
Malaysia kini mengungguli carta kedudukan kumpulan B dengan enam mata selepas dua perlawanan. Harimau Malaya bakal meneruskan cabaran pada Ahad, 12 Disember menentang seteru utama, skuad Indonesia.