Temasya Sukan Komanwel di Glasgow menyaksikan sukan Badminton & Hoki antara yang disisihkan.
Mengikut perancangan awal, temasya sukan tersebut bakal dilangsungkan di Victoria, Australia namun disebabkan faktor peningkatan kos penganjuran, tuan rumah Sukan Komanwel kini beralih ke Glasgow, Scotland.
Walau bagaimanapun, senarai sukan yang dipertandingkan telah dikecilkan bilangannya dengan hanya 10 sukan bakal berlangsung berbanding 19 sukan ketika edisi Birmingham 2022.
Antara 10 sukan tersebut adalah olahraga, renang, bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, tinju, judo, bola jaring, basikal trek dan lawn bowls (boling padang).
Ini bermakna beberapa sukan yang menjadi tumpuan para peminat di Malaysia seperti badminton, terjun dan juga hoki tidak akan dipertandingkan di Glasgow, Scotland nanti.
Sukan badminton merupakan penyumbang pingat utama kontinjen negara di temasya Komanwel ini dengan 31 pingat emas sejak mula disenaraikan pada edisi 1996.
Pada edisi lalu, kontinjen badminton negara menghadiahkan dua pingat emas menerusi acara berpasukan campuran dan beregu wanita yang dimenangi oleh gandingan Pearly Tan-M. Thinaah.
Hoki dan terjun pula tidak kurang hebatnya dengan masing-masing membutirkan sejumlah tiga pingat emas, sembilan pingat perak dan tujuh pingat gangsa buat negara selama ini.
Sukan Komanwel Glasgow bakal membuka tirai bermula 23 Julai sehingga 2 Ogos 2026.