Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) akhirnya mendedahkan senarai 10 acara sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya Sukan Komanwel 2026.
10 sukan tersebut ialah olahraga, renang, bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, tinju, judo, bola jaring, basikal trek dan lawn bowls (boling padang).
Ini sama sekali berbeza dengan edisi 2022 di Birmingham yang mempertandingkan 19 acara termasuk skuasy, badminton dan hoki.
Keputusan mengecualikan sukan-sukan seperti hoki dan badminton dibuat CGF dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos dari segi kewangan dan bilangan atlet yang bakal hadir.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CGF, Katie Sadleir, model ini dilihat model terbaik untuk meningkatkan peluang negara-negara lain menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada masa akan datang.
“Mengendalikan acara pelbagai sukan dengan saiz dan skala (temasya) Birmingham (edisi 2022) sangat mencabar dari segi kos dan keperluan kemudahan.
“Jadi, salah satu perkara yang Persekutuan Sukan Komanwel telah lakukan adalah cuba untuk melihat apa permainan masa depan bakal kelihatan.
“Kami mahu membawa Sukan Komanwel sekitar negara-negara Komanwel, supaya ia bukan hanya dihoskan antara Australia dan UK, dan untuk berbuat demikian, kami perlu mengubah saiz acara itu dengan mendengar apa yang dikatakan oleh ahli kami, membawa tawaran kepada saiz dan skala yang boleh dihoskan oleh negara lain,” katanya seperti yang dilaporkan AOL.
Glasgow menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas calon tuan rumah sebelumnya, Victoria, Australia menarik diri atas sebab kewangan. Ini kali kedua Glasgow menjadi tuan rumah selepas melakukannya pada 2014.