Advertisement
Badrul Afzan Ingin Kekalkan Khidmat Argzim Redzovic
Transfer
MakanBola
Terengganu FC

Pengendali interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali berharap dapat mengekalkan khidmat bek tengah Montenegro, Argzim Redzovic.

Status bek tengah berusia 32 tahun itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong. Ini kerana Redzovic jarang diturunkan dalam kesebelasan utama untuk musim 2024/25.

Bekas bek tengah PDRM FC itu hanya merekodkan satu penampilan liga dalam aksi menentang Selangor FC pada 28 September lalu.

Selepas pemain tengah Croatia, Marin Pilj memilih meninggalkan pasukan baru-baru ini, ramai penyokong tertanya-tanya sama ada Redzovic bakal mengikut jejaknya atau tidak.

Apabila ditanya tentang perkara itu, Badrul Afzan mengakui kontrak bekas bek tengak OFK Petrovac itu bakal berakhir pada November ini. Pada masa sama, beliau ada memohon kepada pengurusan Terengganu untuk melanjutkan kontrak Redzovic sehingga akhir musim ini.

“(Status) Argzim, kontrak dia sudah habis menjelang November. Tapi saya bincang dengan pengurusan (pasukan) untuk (lanjutkan) kontrak dia yang seterusnya. Belum ada keputusan lagi,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan yang disiarkan di TFC TV.

Badrul Afzan melihat Redzovic sebagai pemain sokongan penting buat Terengganu di bahagian pertahanan.

Ini kerana selepas ketiadaan bek tengah Belanda, Matthew Steenvorden, pengalaman bek tengah Montenegro itu amat penting di posisi petahanan.

Meskipun begitu, Badrul Afzan juga bersedia dengan kemungkinan meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga M) menggunakan pemain sedia ada. Beliau bersedia dengan situasi itu sekiranya pengurusan Terengganu memilih tidak menyambung kontrak Redzovic.

“Ya, kalau kita sambung pun sampai bulan 4 (penghujung musim 2024/25). Tapi belum putuskan lagi, nak kena bincang dengan pengurusan macam mana.

“Kita memang perlukan (khidmat Redzovic) kerana kita tengok pemain khasnya di bahagian pertahanan kita memang pemain tempatan saja yang ada, lima orang.

“Kita mungkin kekalkan Argzim untuk kesinambungan untuk pemain-pemain yang ada. (Kalau) tak boleh, kita kena teruskan dengan pemain-pemain yang ada,” ujarnya.

Seandainya kontrak Redzovic dilanjutkan, beliau bakal mengikut jejak rakan sepasukan, Nurillo Tukhtasinov. Ini selepas Terengganu melanjutkan kontrak pemain tengah Uzbekistan itu selama setahun lagi.

Sejak menyertai Terengganu pada 2020, Redzovic sudah merekodkan 32 penampilan dan satu gol untuk pasukan itu. Selain beraksi buat skuad senior Peteh, beliau turut beraksi untuk skuad Terengganu II.