Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali ingin menilai tahap kecergasan penyerang import Croatia, Ivan Mamut terlebih dahulu.
Mamut sebelum ini terpaksa berehat hampir setahun selepas mengalami kecederaan tendon Achilles dalam aksi pra-musim 2024/25.
Ketiadaan beliau menyebabkan tanggungjawab memburu gol Terengganu digalas tiga peledak import iaitu Ismaheel Akinade, Nelson Bonilla dan Nnabuike Chijioke Chukwu.
Akinade, Bonilla dan Chijioke Chukwu masing-masing menjaringkan empat, tiga dan dua gol dalam semua kejohanan musim 2024/25.
Ini sama sekali berbeza dengan Mamut yang meledakkan 23 gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan musim 2023 termasuk Piala AFC.
Meskipun sedar dengan impak gol yang dibawa penyerang berusia 27 tahun itu, Badrul mahu menilai sama ada Mamut sudah sedia beraksi atau tidak.
Ini kerana bekas penyerang Inter Zapresic itu bakal kembali menyertai latihan Peteh pada Januari 2025.
“Ivan Mamut akan hadir pada awal Januari. Jadi, pada awal Januari ini, saya mengharapkan Ivan Mamut sudah bersedia terutama (dari segi) latihan,” katanya kepada Astro Arena.
“Saya pun lama tak lihat dia. Saya mengharapkan Ivan Mamut dapat sertai latihan walaupun keadaan beliau tak begitu baik. Mungkin kena tengok dulu keadaan beliau.”
Pendekatan itu dipilih memandangkan Mamut berehat lama akibat kecederaan. Badrul mahu memastikan penjaring terbanyak Terengganu musim 2023 itu benar-benar cergas sebelum kembali dalam perancangan pasukan.
“Tempoh pemulihan Ivan Mamut ini, kita ambil masa setahun juga. (Sudah lama) tak bermain,” tambahnya.
“Jadi, sedikit-sebanyak kerisauan saya ialah bila Ivan Mamut datang, beliau tidak bersedia dan masih jalani pemulihan. Tengoklah macam mana.”
Sekiranya Mamut kembali cergas, ia dilihat tonik terbaik buat Terengganu. Ini kerana pasukan itu bakal berdepan beberapa aksi penting pada Januari 2025.
Peteh bakal berdepan Shan United dan PSM Makassar untuk saingan Shopee Cup pada 8 dan 22 Januari 2025.
Pasukan Pantai Timur itu juga akan berdepan juara empat trofi musim 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebanyak tiga kali.
Selain aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 17 Januari dan 1 Februari 2025, kedua-dua pasukan itu bakal berentap dalam liga pada 25 Januari 2025.