Advertisements
Badrul Afzan Puas Hati Prestasi Rahadiazli Rahalim
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Pemangku jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali cukup berpuas hati dengan prestasi penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Musim 2024/25 menyaksikan penjaga gol berusia 23 tahun itu terpaksa menunggu peluang untuk menjadi penjaga gawang Terengganu.

Ini disebabkan jurulatih sebelumnya dari Croatia, Tomislav Steinbruckner lebih cenderung memilih Suhaimi Husin atau Syed Nasrulhaq Syed Bidin sebagai penjaga gol utama.

Penjaga gol skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu akhirnya mendapat peluang menjadi penjaga gol utama apabila diturunkan dalam aksi terbaru liga menentang Penang FC.

Rahadiazli membalas kepercayaan Badrul dengan memastikan Terengganu merekodkan rekod tanpa bolos buat kali keenam dalam Liga Malaysia (Liga M). Peteh menewaskan Harimau Kumbang 1-0 menerusi gol Ubaidullah Shamsul Fazili.

Badrul berpuas hati dengan prestasi semua pemain yang diturunkan terutama Rahadiazli dalam aksi berkenaan. Ini kerana ini aksi pertamanya untuk musim 2024/25.

“Ya, kita memang membuat empat pertukaran terutama Rahadi yang bermain perlawanan pertama untuk tahun ini. Jadi, bagi saya bukan Rahadi tetapi semua pemain menunjukkan komitmen tinggilah pada malam ini,” katanya kepada TFC TV.

Badrul percaya rekod tanpa bolos yang direkodkan Rahadiazli bakal memberi keyakinan kepadanya untuk terus merebut slot penjaga gol utama Terengganu.

“Untuk prestasi Rahadi, untuk malam ini tanpa boloslah. Jadi, bagi saya, saya berpuas hati dengan permainan dia.

“Saya mengharapkan Rahadi dapat diberi peluang selepas ini. Dan saya berharap Rahadi dapat bersedia untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” ujarnya.

Kemenangan ini sekaligus menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan yang dihadapi Terengganu dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.