Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar aduan rasmi berkenaan mutu pengadilan aksi Malaysia Masters 2025 kepada Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Langkah ini dibuat selepas jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi merasa tidak puas hati dengan tiga keputusan pengadil dalam aksi pusingan kedua membabitkan Aaron Tai-Kang Khai Xing.
Aaron-Khai Xing memberi tentangan hebat kepada pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard sebelum tewas dengan keputusan 10-21, 26-24, 16-21.
Herry tidak berpuas hati dengan tiga keputusan pengadil perlawanan tersebut. Ini termasuk keputusan yang menyatakan bola masuk sedangkan bola jelas sekali terkeluar.
Jurulatih Indonesia itu menganggap keputusan-keputusan itu bukan saja mempengaruhi keputusan akhir perlawanan. Malah, ini menyebabkan tekanan emosi kepada beregu ke-58 dunia itu.
Lantaran itu, Herry meminta BAM memfailkan aduan rasmi kepada BWF berhubung perkara tersebut.
Susulan itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan aduan rasmi sudah difailkan kepada BWF. Aduan tersebut turut disertakan dengan bukti termasuk bukti video.
“Walaupun kami menghormati peranan dan kepentingan pegawai teknikal, amat penting bagi Persekutuan Badminton Dunia menjalankan semakan menyeluruh terhadap piawaian pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kesaksamaan dan integriti mesti dipertahankan dalam setiap perlawanan. Keputusan yang dibuat oleh pengadil pada pandangan kami, jelas tersilap dan menafikan pemain kami mendapat peluang pertandingan yang adil.
“Pengadilan seperti itu bukan sahaja menjejaskan keputusan perlawanan tetapi juga menjejaskan kredibiliti sukan badminton.”
Saingan separuh akhir Malaysia Masters menyaksikan tiga wakil negara diketuai bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.