Baqiuddin Shamsudin Berhijrah Ke Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Pemain sayap Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin sah berhijrah ke Terengganu FC.

Sebelum ini, Terengganu sudah memberi bayangan bahawa seorang pemain Sri Pahang bakal menyertai pasukan itu untuk musim 2025/26.

Ini membuatkan penyokong berteka-teki tentang siapa pemain tersebut. Kini, Peteh mendedahkan pemain yang dimaksudkan ialah Baqiuddin.

Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran beberapa minggu lalu.

“Terengganu FC secara rasmi mengumumkan Muhamad Baqiuddin Bin Shamsudin menjadi pemain pertama yang ditandatangani kelab bagi saingan musim baru. Baqiuddin bakal bersama Terengganu FC bagi tempoh satu musim iaitu musim 2025/2026.

“Terengganu FC melihatkan kehadiran Baqiuddin mampu memberikan pilihan untuk variasikan corak serangan pasukan memandangkan pemain ini adalah pemain yang beraksi di posisi sayap dan mempunyai kualiti dari segi kelincahan bersama bola serta seorang pemain yang memiliki kelajuan yang baik.

“Baqiuddin juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai kelebihan dalam membantu bahagian pertahanan dan ianya adalah nilai tambah yang baik terutamanya apabila pasukan memerlukan pemain sayap yang banyak berada bersama barisan pertahanan dalam sesuatu perlawanan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Baqiuddin dijangka menambah pilihan buat Badrul Afzan Razali di bahagian sayap selain Akhyar Rashid dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Baqiuddin bakal menyarung jersi nombor 77 untuk kempen musim 2025/26. Beliau bakal melapor diri untuk sesi latihan pada 1 Julai ini.