Dua bekas pemain Sri Pahang FC dilaporkan bakal menyarung jersi Terengganu FC pada musim hadapan.
Dua pemain yang dimaksudkan ialah Saiful Jamaluddin dan Baqiuddin Shamsuddin. Saiful dan Baqiuddin dikhabarkan akan menyertai Terengganu selepas Sri Pahang menarik diri untuk kempen musim 2025/26.
Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan kedua-dua pemain ini dijangka menambah pilihan Badrul Afzan Razali di bahagian tengah.
“Terengganu bakal menambah pilihan pemain di bahagian tengah mereka dengan membawa masuk dua pemain dari pasukan Pantai Timur, Sri Pahang.
“Mereka berminat mendapatkan pemain tengah bertahan, Saiful Jamaluddin dan pemain sayap, Baqiuddin Shamsuddin,” katanya di X.
Selain mereka, Terengganu juga dilaporkan berminat mendapatkan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad.
Barisan muka baharu yang dijangka memperkuatkan skuad Peteh bakal diketahui pada 1 Julai ini. Ini kerana pada tarikh tersebut, semua pemain Terengganu melapor diri untuk latihan pra-musim.