Bekas Bintang Selangor Raih Trofi Sulung Di Australia
MakanBola
SFC/ZC

Bekas tonggak import Selangor FC, Zach Clough akhirnya merangkul trofi sulung dalam kariernya.

Clough menjadi sebahagian daripada pasukan Newcastle Jets yang merangkul A-League Premiership musim 2025/26.

Ini selepas The Jets yang dibimbing bekas jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan menamatkan kempen A-League di tangga pertama.

Kejayaan ini cukup bermakna buat Clough kerana beliau tidak pernah merangkul sebarang trofi dalam kariernya.

Pencapaian terbaiknya ialah membantu Bolton Wanderers bergelar naib juara Liga Satu (divisyen ketiga England musim 2016/17).

Meskipun hanya sempat meraih empat penampilan bersama The Jets, Clough tetap bangga menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

“Bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini!!!” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Menariknya, ramai staf kejurulatihan dan pemain Selangor turut mengucapkan tahniah kepada Clough atas pencapaian yang dilakar bersama The Jets.

Antaranya penolong jurulatih, Shahrom Kalam, pengarah teknikal pasukan, Christophe Gamel, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Chrigor Moraes.

Clough berpeluang membantu Newcastle Jets meraih treble apabila bersaing dalam saingan A-League Championship. Enam pasukan teratas liga termasuk The Jets bersaing untuk merebut trofi itu.

Selain Premiership, Newcastle Jets juga sudah merangkul trofi Australian Cup. Pencapaian ini juga menjadikan Milligan antara jurulatih muda terbaik di dunia ketika ini.