Bekas Jurulatih Malaysia Pencetus Semangat Kebangkitan Senegal
MakanBola
CAF

Kiisah kejayaan Senegal sebagai juara Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 tidak akan berlaku tanpa nasihat bekas jurulatih Malaysia, Claude Le Roy.

Aksi final AFCON 2026 membabitkan Senegal dan tuan rumah, Maghribi dibayangi dengan kontroversi keputusan pengadilan.

Tindakan pengadil memberi penalti kepada Maghribi pada minit akhir perlawanan mendorong jurulatih Singa Teranga, Pape Thiaw memanggil semua pemain kembali ke bilik persalinan.

Hanya seorang yang memilih kekal di atas padang iaitu bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane. Pada ketika itu, Mane meminta nasihat Le Roy yang hadir sebagai tetamu aksi final berkenaan.

“Claude Le Roy beritahu saya ketidakadilan wujud dalam bola sepak tetapi meninggalkan padang bukan jawapannya.

“Beliau menasihati saya untuk meminta rakan-rakan sepasukan saya kembali ke padang dan meneruskan perlawanan kerana keputusan perlawanan masih lagi belum diputuskan,” katanya seperti dilaporkan Foot Africa.

Selain Le Roy, Mane turut meminta nasihat dua bekas bintang Liverpool, El Hadji Diouf dan Mamadou Sakho. Kedua-duanya juga memberi nasihat sama kepada beliau berhubung hal itu.

Hal ini mendorong Mane memanggil semua pemain Senegal kembali ke padang dan meneruskan perlawanan. Penalti Maghribi yang diambil Brahim Diaz kemudiannya dinafikan Edouard Mendy.

Senegal kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi Pape Gueye pada masa tambahan untuk menjulang trofi AFCON buat kali kedua dalam sejarah pasukan itu.

Le Roy bukan asing dengan benua Afrika kerana kerap melatih pasukan benua berkenaan. Antara pasukan yang menerima sentuhan beliau ialah Cameroon, Senegal, DR Congo, Ghana, Congo dan Togo.

Sentuhan Le Roy kemudiannya ditagih buat skuad Harimau Malaya dari 1994 hingga 1995. Selain Malaysia, beliau juga pernah melatih Oman dan Syria.

Antara pencapaian Le Roy ialah membantu Cameroon bergelar juara AFCON edisi 1985. Beliau turut membantu Ghana menduduki ranking ke-14 FIFA, ranking paling tinggi negara itu pada 2008.

Claim Money Packet TnG