Kelab lama penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Andoni Zubiaurre bakal mengalami angin perubahan apabila Lionel Messi memuktamadkan proses pengambilalihan.
Kelab yang dimaksudkan ialah kelab LaLiga2, CD Eldense. Al-Jazeera melaporkan Messi dan pengurusan kelab telah mencapai persetujuan untuk pengambilalihan tersebut.
Pengurusan kelab yang diberi jolokan Azulgranas itu memaklumkan kedua-dua pihak dalam proses menyelesaikan semua isu perundangan dan kontrak termasuk penilaian dan kebenaran mandatori dari Majlis Sukan Kebangsaan Sepanyol (CSD).
Sekiranya semua berjalan lancar, Messi bakal memiliki pegangan saham pemilikan sebanyak 100%. Sebelum ini, Eldense dimiliki entiti pelaburan yang berpangkalan di Colombia, TH Soluciones Group SAS.
Ini bukan kali pertama Messi menjadi pemilik kelab bola sepak. Sebelum ini, legenda Argentina itu menjadi pemilik kelab akar umbi Sepanyol, UE Cornella.
Cornella yang beraksi dalam divisyen lima Sepanyol cukup dikenali kerana menghasilkan ramai pemain muda berbakat. Sesetengah daripadanya kemudian menyertai akademi terkenal Barcelona, La Masia.
Messi berpotensi bersaing dengan bekas rakan sepasukan, Gerard Pique dalam saingan LaLiga2. Pique juga menjadi pemilik kelab FC Andorra menerusi pengambilalihan yang dibuat pada 2018.
Jadi, apa kaitan Zubiaurre dengan Eldense? Sebelum menyertai Harimau Selatan, beliau pernah bersama kelab itu dari 2023 hingga September 2024.

Malah, JDT juga pernah mengadakan aksi persahabatan pramusim dengan Eldense pada 2024. Perlawanan tersebut menyaksikan JDT tewas 2-0 kepada Azulgranas.
Selain Zubiaurre, dua bekas pemain JDT iaitu Raul Parra dan Francisco Geraldes juga pernah mewakili Eldense. Geraldes yang kini mewakili Chungbuk Cheonju pernah beraksi selama enam bulan untuk kelab itu pada musim 2024/25.
Parra yang kini berkelana di Slovenia juga beraksi selama enam bulan secara pinjaman dari Estoril pada separuh kedua musim sama.