Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab memilih menolak tawaran kelab Sepanyol dan kekal bersama FC Seoul.
Sports Chosun melaporkan khidmat bek tengah berusia 30 tahun itu mula diintai beberapa kelab Sepanyol.
Ini ditambah dengan prestasi baik yang dipamerkan Yazan dalam aksi persahabatan antara FC Seoul dan Barcelona pada musim panas 2025.
Prestasi cemerlang bek tengah Jordan itu pada musim 2025 menyaksikan beliau tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik K-League 1 musim tersebut.
Meskipun begitu, Yazan memilih untuk memperbaharui kontrak bersama FC Seoul. Keputusan itu diumumkan pengurusan kelab menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Yazan turut memohon maaf kepada penyokong kerana lewat memperbaharui kontrak bersama pasukan itu. Pada masa sama, beliau tetap setia bersama FC Seoul.
“Pertama sekali, saya memohon maaf kepada kelab dan peminat atas kelewatan memperbaharui kontrak disebabkan hal peribadi saya. Tetapi kesetiaan dan cinta saya untuk FC Seoul dan peminat tidak pernah berubah.
“Mulai sekarang, lambang FC Seoul bukan sahaja di dada saya tetapi di hati saya. Saya benar-benar berbangga untuk memperbaharui semula kontrak dengan FC Seoul dan berterima kasih kepada kelab kerana sentiasa mempercayai saya,” katanya.
Yazan juga berikrar akan terus memberikan yang terbaik bersama pasukan itu. “Saya akan berikan anda cinta dan jangkaan peminat FC Seoul dan saya akan berikan yang terbaik untuk anda.
“Saya berbangga menjadi pemain FC Seoul pada bila-bila masa dan saya akan menjadi pemain yang melakukan yang terbaik sehingga ke penghujungnya,” ujarnya.
Yazan telah merekodkan 52 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol sejak menyertai FC Seoul pada 2024.
Kehadiran beliau dijangka ditagih kelab itu menjelang pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Ini kerana FC Seoul antara 16 pasukan yang berjaya mara ke peringkat berkenaan.