Penyerang berdarah Sepanyol-Maghribi, Youssef Ezzejiari mengucapkan selamat tinggal kepada Negeri Sembilan FC.
Ini selepas kelab Kemboja, Visakha FC mengesahkan perpindahan beliau ke kelab itu hari ini menerusi satu hantaran di laman media sosial mereka.
“Selamat datang Youssef ke keluarga bola sepak Visakha dan berharap kehadiran anda akan menjadi bahagian penting untuk membantu pasukan mencapai keputusan yang baik dan membawa kegembiraan kepada peminat kami,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ezzejiari sebelum ini dibawa masuk skuad Hoben Jang Hoben pada hari terakhir tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) bagi memperkuat jentera serangan mereka.
Bekas penyerang Bhayangkara itu hanya merekodkan enam penampilan dalam Liga Super dan Piala FA. Tempoh tersebut menyaksikan beliau menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol.
Ini disebabkan pengendali skuad Rusa, K. Devan lebih cenderung memilih Casagrande, Herold Goulon atau Shahrel Fikri sebagai pilihan di jentera serangan.
Ini kali pertama Ezzejiari beraksi di Kemboja dalam karier bola sepaknya di Asia Tenggara.
Selain Negeri Sembilan FC dan Bhayangkara, beliau juga pernah beraksi untuk Persik Kediri dan Khon Kaen United.