Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengambil alih tugas sebagai jurulatih kelab Mexico, Pachuca.
Apa yang menarik ialah beliau mengisi kerusi panas yang ditinggalkan seorang lagi bekas jurulatih Harimau Selatan, Esteban ‘Tano’ Solari. Pelantikan beliau diumumkan pengurusan Pachuca menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu.
“Jurulatih Mexico, Benjamin Mora, merupakan pengurus baharu Pachuca. Berikutan pemergian Esteban Solari baru-baru ini dari kelab itu, lembaga Kelab Bola Sepak Pachuca mengumumkan pada hari Rabu, 10 Jun, bahawa Mora akan mengambil alih skuad profesional untuk komitmen mereka yang akan datang.
“Kejohanan itu ialah Liga MX Apertura 2026 dan Piala Liga 2026, di mana mereka akan mencari salah satu daripada tiga slot ke Piala Juara-Juara Concacaf 2027,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Solari memilih untuk meninggalkan Pachuca selepas gagal mencapai persetujuan dengan kelab itu berhubung kontrak baru. Hal ini mendorong Pachuca membawa masuk Mora sebagai pengganti.
Jurulatih Argentina itu dijangka terus mewarnai liga Mexico kerana dikaitkan dengan satu lagi kelab negara itu, Pumas.
Ini tugasan terbaru Mora selepas meninggalkan kelab China, Wuhan Three Town. Jurulatih Mexico itu berharap dapat kekal lebih lama selepas hanya bertahan selama beberapa bulan di Wuhan.
Selain JDT dan Wuhan Three Town, Mora juga pernah melatih Club Tijuana, Atletico Chiapas, Atlas FC, York United FC dan Queretaro FC.